Khamis, 6 Oktober 2011

192441 Rozaidi Azrie Bin Arifin


tajuk: komuniti orang asli di malaysia dari sudut budaya dan adat-adat seperti perkahwinan, kematian dan bersalin









       
                          Masyarakat Orang Asli merupakan komuniti kecil di Malaysia dan adalah penduduk pri bumi negara ini. Orang Asli merupakan masyarakat yang mempunyai beberapa suku kaum yang berbeza-beza. Secara rasminya masyarakat Orang asli dibahagi kepada tiga kumpulan yang terbesar iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Asli. Suku Senoi dan Negrito pula diklasifikasikan kepada enam suku kecil. Suku Melayu Asli dipecahkan kepada tujuh suku kecil.

Oleh kerana terdapat pelbagai suku kaum di kalangan masyarakat Orang Asli, maka terdapat banyak perbezaan dari segi cara hidup dan pertuturan bahasa yang digunakan. Kebudayaan dan adat resam mereka juga berbeza-beza dan mempunyai keunikan yang tersendiri. Adat resam berikut akan memperlihatkan adat resam yang diamalkan di kalangan masyarakat Orang Asli secara keseluruhan.

Adat bersalin

Bagi masyarakat Orang Asli, adat resam semasa hamil amat dititik beratkan, seperti juga adat-adat berkaitan aspek kehidupan yang lain. Terdapat sedikit persamaan dengan adat resam masyarakat Melayu terutamanya dalam beberapa adat kelahiran tertentu di kalangan masyarakat Orang Asli dari suku kaum Melayu Asli. Berikut dipaparkan adat resam kelahiran yang diamalkan oleh masyarakat Orang Asli secara ringkas yang merangkumi peringkat sewaktu mengandung, semasa bersalin dan selepas lahir secara ringkas.

Sewaktu Mengandung

Di kalangan masyarakat Orang Asli terutamanya dari suku kaum Melayu Asli, wanita yang mengandung akan menempah seorang bidan yang akan membantu wanita berkenaan ketika bersalin. Ketika kandungan berusia tujuh bulan , bidan yang dipilih itu perlu melakukan upacara melenggang perut. Upacara itu akan dijalankan oleh mak bidan yang akan menjampi wanita yang mengandung itu bertujuan untuk mengusir sebarang semangat jahat dan gangguan lain bagi menjamin keselamatan ibu serta bayi. Di samping itu, adat ini juga penting untuk menentukan kandungan berada di kedudukan yang betul agar memudahkan proses bersalin kelak. Kelazimannya adat ini akan disertai dengan sedikit jamuan makan.

Selain adat tersebut, terdapat beberapa perkara yang perlu dihindari oleh wanita mengandung dan berikut adalah beberapa pantang larang yang masih diamalkan oleh masyarakat Orang Asli. Wanita mengandung tidak boleh mentertawakan binatang seperti monyet kerana dikhuatiri muka dan perlakuan bayi akan menyamai haiwan berkenaan. Mereka dilarang memakan ikan yang bewarna merah kerana dikhuatiri berlakunya tumpah darah ketika melahirkan bayi. Wanita mengandung juga dilarang bekerja pada waktu subuh dan maghrib kerana dikhuatiri bayi yang lahir akan kelihatan tidak bermaya kerana semangatnya telah terganggu. Mereka dilarang mengetuk paku pada kayu di sebelah petang kerana dikhuatiri bayi atau ibu akan sakit atau mati

Semasa Bersalin

Semasa bayi dilahirkan, tali pusatnya akan dipotong dengan menggunakan serpih buluh yang tajam dan bayi dimandikan dengan air suam. Seterusnya uri bayi ditanam berdekatan rumahnya. Uri tersebut akan dicuci, digaul dengan serbuk kunyit, garam, lada putih, lengkuas, kemenyan dan arang sebelum ditanam ke dalam lubang setinggi satu kaki. Selama tujuh hari lampu akan dipasang di tempat uri tersebut ditanam. Bagi masyarakat Orang Asli, mereka menganggap uri tersebut sebagai abang atau kakak kepada bayi itu dan justeru ia hendaklah ditanam dengan sempurna.

Selepas Lahir

Selepas bayi dilahirkan, terdapat beberapa adat yang dijalankan, iaitu:

Memberi Nama

Bayi akan diberi nama dengan kebenaran dari ibu bapanya selepas selamat dilahirkan. Biasanya nama bayi diberi berdasarkan nama pokok, tumbuh-tumbuhan, ikan atau tempat yang dekat dengan bayi ketika lahir atau juga menurut nama peristiwa yang berlaku ketika bayi dilahirkan. Adakalanya nama yang diberi tidak sesuai dan bayi akan jatuh sakit. Jika ini berlaku, ibu bapa tadi akan 'menjualkan' bayinya kepada orang lain, iaitu ibu bapa barunya. Dipercayai penyakit bayi adalah disebabkan ketidaksesuaian antara bayi dan ibunya. Setelah bayaran dibuat kepada ibu bapa baru, ibu kandung akan pulang ke rumah. Tetapi tidak lama selepas itu ibu bapa baru akan menyerahkan kembali bayi tersebut kepada ibu bapa kandungnya. Adakalanya nama bayi perlu diubah kerana tidak sesuai. Jamuan kecil-kecilan akan dibuat sempena pertukaran nama bayi tersebut. Kadang kala pulut kuning akan diberi kepada jiran-jiran. Bidan pula akan menjalankan upacara pembersihan yang menyerupai adat menepung tawar di kalangan masyarakat Melayu supaya bayi berada dalam keadaan selamat dan sihat.

Tanggal Tali Pusat

Biasanya tali pusat akan tanggal dalam tempuh seminggu selepas bayi dilahirkan. Sama seperti adat yang dilakukan oleh masyarakat Melayu, masyarakat Orang asli juga akan menguruskan tali pusat tersebut dengan sebaik-baiknya. Ini dengan cara membungkusnya dengan kain putih bersama-sama sebiji atau tiga biji lada hitam. Kemudian tali pusat itu digantung di atas api bertujuan untuk memelihara kesihatan bayi. Jika bayi itu sakit, tali pusat tadi akan direndam di dalam air dan diberi minum kepada bayi supaya sembuh. Apabila bayi sudah pandai merangkak, tali pusat tadi akan diberikan kepadanya untuk dijadikan permainan. Sekiranya tali pusat tadi hilang, ini bermakna bayi akan bekerja di tempat yang jauh apabila dewasa nanti kerana kononnya tali pusat tersebut merupakan sebahagian daripada 'adik beradiknya'.


Adat berkahwin






Kebanyakan masyarakat Orang Asli berkahwin ketika usia masih muda. Bagi kaum lelaki, usia 18 tahun merupakan usia yang paling sesuai untuk mendirikan rumahtangga. Kaum perempuan pula ketika berusia 16 tahun dan hendaklah tidak lebih daripada usia kaum lelaki. Perkahwinan dilakukan oleh ibu bapa bakal pengantin, bermula daripada upacara merisik sehinggalah seseorang telah menjadi pasangan suami isteri secara sah. Oleh itu jodoh ditentukan oleh ibu bapa.
Ada juga di kalangan masyarakat Orang Asli yang telah bertunang sejak kecil lagi. Kebiasaannya pengantin lelaki dan perempuan mempunyai hubungan saudara seperti sepupu atau dua pupu atau mempunyai suku kaum yang sama. Adalah tidak menjadi kesalahan sekiranya bakal pengantin lelaki berkahwin dengan perempuan daripada suku lain. Namun apa yang pasti bakal pengantin perempuan perlu mengikut suami, dengan kata lain bakal isteri perlu memasuki suku kaum suami.

Hantar Tanda
Hari menghantar tanda atau menghantar cincin diketuai oleh seorang wakil ketua kampung untuk menetapkan hari meminang. Sebelum itu kedua-dua belah pihak telah bertemu untuk mendapat persetujuan tentang hari penghantaran cincin tanda. Setelah itu barulah penghantaran cincin tanda dilakukan. Biasanya menghantar cincin tanda ini dilakukan oleh ibu bapa dan ahli keluarga yang lebih tua.

Meminang
Pada masa yang ditetapkan upacara meminang dijalankan oleh kedua-dua belah pihak yang diwakili oleh Tok Batin/ Jenang/Penghuhu/Jungkerah dan Penggawa sekiranya berlainan suku kaum. Mereka mengadakan perbincangan di sebuah rumah besar atau kini balai raya. Apabila selesai upacara meminang satu tarikh untuk hari melangsungkan perkahwinan ditetapkan iaitu kira-kira tujuh bulan, lapan bulan atau setahun dari upacara meminang.

Upacara Perkahwinan
Upacara ini dimulakan dengan mengasah gigi kedua-dua mempelai yang bertujuan membuang sial. Ini adalah penting supaya segala masalah yang dihadapi oheh bakal pengantin ketika bujang tidak dibawa selepas berkahwin. Ada juga yang menyatakan asah gigi ini adalah untuk membuktikan bakal pengantin telah benar-benar dewasa dan boleh memikul tanggungjawab masing-masing.
Sehari sebelum upacara persandingan dilakukan, pasangan pengantin dikehendaki melakukan upacara berinai. Jari kedua-dua pengantin akan dimerahkan dengan daun inai yang ditumbuh lumat. Upacara berinai ini dijalankan hingga ke pagi. Pada masa yang sama tari menari hingga ke pagi akan diadakan.
Pelamin diperbuat daripada anyaman daun kelapa atau rumbia, manakala tiang pula diperbuat daripada anak-anak kayu yang direka bentuk seperti rumah yang kecil. Pelamin ini dibuat di hadapan rumah pengantin. Sekiranya suku kaum yang mendiami rumah panjang, mereka akan bersanding di tengah-tengah ruang untuk dilihat oleh ahli keluarga yang lain.





Semasa upacara persandingan dilakukan, semua ahli keluarga akan menepung tawar pengantin dengan merenjis air mawar dan pulut sebagai merestui perkahwinan tersebut. Pakaian pengantin adalah sederhana. Kebanyakan pakaian pengantin mengikut pakaian tradisional masing-masing. Pengantin akan dihias dengan pelbagai aksesori yang dibuat sendiri. Aksesori yang dipakai oleh pengantin perempuan ialah gelang, kalung yang diperbuat daripada manik-manik yang beraneka warna. Kemudian lilitan kepala pula diperbuat daripada daun-daun untuk mencantikkan lagi pasangan tersebut.

Pada hari persandingan, pelbagai juadah yang lazat disediakan oleh kedua-dua belah wakil. Makanan yang lazat itu kemudian diagih-agihkan kepada para tetamu untuk dimakan bersama-sama wakil kedua-dua belah pihak. Selepas itu upacara persandingan dijalankan dan diakhiri dengan upacara memandikan kedua-dua mempelai sebagai tanda mereka selamat dikahwinkan. Setelah itu barulah pasangan itu layak digelar suami isteri.



Adat kematian

Masyarakat Orang Asli terdiri daripada pelbagai suku kaum, justeru itu adat serta kebudayaan antara suku kaum mereka juga berlainan. Dalam menguruskan hal kematian, terdapat beberapa adat yang dilakukan.

Semasa Kematian

Bagi suku Negrito dan Senoi, kematian yang dilakukan berlainan mengikut suku kaum sendiri. Lazimnya masyararakat orang asli akan membersihkan si mati terlebih dahulu. Kemudian si mati akan diletakkan di tengah-tengah rumah untuk dilihat oleh ahli saudara-mara. Sekiranya semasa hidupnya si mati menghisap rokok, bibir si mati akan dikepilkan dengan rokok sebagai tanda menghormati si mati. Begitu juga dengan mereka yang suka memakan sirih, akan diletakkan di bibir mereka sebagai syarat.
Kemudian ahli keluarga yang paling rapat akan menangis, tetapi tangisan tersebut haruslah perlahan supaya tidak mengganggu si mati. Pada masa yang sama ahli keluarga membaca beberapa mantera untuk dijadikan bekalan si mati. Ahli-ahli keluarga dilarang mengungkit keburukan si mati semasa hidup. Oleh itu mereka dikehendaki menceritakan kebaikan si mati sahaja. Dengan ini roh si mati akan lebih tenteram di dunia akhirat kelak.

Ada juga di kalangan mereka yang mengenakan si mati dengan pakaian yang cantik terutama pakaian ketika perkahwinan. Bahkan ada pula yang mengenakan pakaian biasa kepada si mati. Pemakaian baju yang menarik adalah sebagai penghormatan terakhir kepada si mati.



Pengebumian

Setelah itu si mati akan dibawa ke kawasan perkuburan. Kebanyakan mayat akan dikebumikan di kawasan yang khas. Bagi kebanyakan suku kaum yang mengamalkan kehidupan secara berpindah-randah, mayat mereka akan dikebumikan di kawasan petempatan mereka. Oleh itu mereka akan berpindah ke kawasan lain kerana dipercayai si mati akan menjadi hantu dan akan mengacau ahli keluarga yang lain.
Suatu ketika dahulu suku Negrito mengebumikan mayat di kawasan tertentu seperti di bawah pokok besar, gua, batu besar atau diletakkan sebelah busut. Namun amalan tersebut semakin berkurangan.

LAMPIRAN GAMBAR-GAMBAR







rujukan
Portal Rasmi Jabatan Kemajuan Orang Asli
http://malaysiana.pnm.my/01/0106orgasli_pengenalan.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan