Khamis, 6 Oktober 2011

127027 Fazillah Binti Aksyah

Topik:
MASYARAKAT KADAZAN DUSUN DAN SISTEM SOGIT
     1.0 Pengenalan
Kaum Kadazan-Dusun merupakan nama kaum bumiputera asli yang terbesar di sabah.  Salah satu teori mengatakan kaum ini asalnya dari suku Bunun di Taiwan. Kaum etnik Kadazan-Dusun ini menggunakan pelbagai bahasa dan dialek dengan pelbagai kebudayaan dan adat resam tradisional. Terdapat 27 suku kaum di dalamnya.
Pada mulanya tun Fuad Stephen, Huguan Siou (Pemimpin Agung) pertama Kadazan, mencadangkan istilah Kadazan digunakan bagi menyatukan 14 suku kaum yang berkongsi kumpulan bahasa bagi memberikan mereka suara yang lebih besar. Ini dipersetujui oleh ramai, tetapi sesetengah orang Dusun mahukan atonomi lebih besar, dengan itu istilah Kadazan-Dusun dipilih sebagai tolak-ansur.
Kumpulan etnik yang terbesar adalah suku kaum Dusun yang merupakan satu pertiga dari penduduk Sabah. Suku kaum Dusun yang tinggal di pantai barat seperti Penampang, Papar, Tuaran, Kiulu, Tamparuli, Tenghilan, Kota Belud dan juga di lembah bukit di Ranau, Tambunan, dan Keningau adalah petani tradisi yang menanam padi sawah dan huma. Sesetengah dari mereka memburu serta menangkap ikan sungai. Mereka kebanyakan bertempat di sekelilingi kawasan lembah pantai barat dan kawasan pendalaman.
Lazimnya masyarakat daripada subetnik yang disebut di atas adalah berasal (mendiami) daripada kawasan-kawasan (daerah) tertentu umpamanya Kimaragang di daerah Kota Marudu, Lotud di daerah Tuaran. orang sungai di daerah Kinabatangan, Sugut, Paitan dan Pitas. Kebanyakan orang Kadazan-Dusun menganuti agama kristian. Bagi Orang Sungai yang tinggal di daerah Pitas, mereka menganut agama Islam manakala daerah-daerah lain seperti Kinabatangan (Tongod) dan Paitan, Orang Sungai beragama Islam dan Kristian. Masyarakat Lotud (Suang Lotud) turut mendiami kawasan Pantai Barat Selatan negeri Sabah terutamanya Tuaran, Tamparuli, Telipok dan dan sedikit di Kota Belud (Tempasuk). Mereka hidup secara kolektif dengan mendiami rumah panjang yang mengumpulkan beberapa keluarga, iaitu antara 150 - 200 orang. Walau bagaimanapun, pada masa kini, rumah panjang jarang dilihat dalam etnik ini. Kebanyakannya telah mengalami pembangunan fizikal dan mental.
Istilah Kadazan-Dusun ini wujud dari hasil penggabungan etnik kadazan dan Dusun serta beberapa etnik kecil lain. Penggabungan ini adalah akibat pertelingkahan politik. Lagipun, perbezaan antara kaum Kadazan dan Dusun tidaklah begitu berbeza dan kasar.Beza antara bahasa Kadazan dan Dusun ialah seperti bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia.
1.1  Mitos Nunuk Ragang
Sejarah lisan atau Cerita Legenda yang popular menunjukkan bahawa Kadazandusun berasal dari tempat ini - "NUNUK RAGANG". Tempat ini terletak di sebuah kawasan di sekitar muara pertemuan dua batang sungai iaitu sungai Kogibangan (dari arah kiri) dan Sungai Kawananan (dari arah kanan) yang telah bercantuman menjadi sungai yang lebih besar, yang dinamakan Sungai Liwogu (Dalam dan Tenang). Kerana diliputi dengan "lembaga hidup yang kelihatan kemerahan-merahan" masing-masing dengan telatah dan perangainya.
Di bawah pohon, di tebing sungai dan di atas sepanjang juntaian akar Nunuk - penuh dengan lembaga itu. Pantulan warna ke "kemerahan" semakin menyerlah apabila cahaya matahari terpancar ke arah tubuh lembaga-lembaga itu. Oleh yang demikian, Nunuk itu kelihatan seolah-olah "merah" lalu ia dipanggil Nunuk Ragang. (Aragang/Ragang(Bahasa Kadazandusun)=Merah.
Tanggapan bahawa Nunuk itu Merah atau Nunuk Ragang adalah kiasan bagi menggambarkan betapa ramainya manusia (lembaga merah) yang bersenda ria di sekitar kawasan Nunuk ini. Sebenarnya, manusia yang ramai dikiaskan sebagai "warna merah" apabila dilihat dari jarak jauh dan bukanlah pokok Nunuk itu yang berwarna merah.
Sejak itu, nama NUNUK RAGANG ini menjadi "identity" rakyat Sabah yang mempercayai bahawa "asal-usul" mereka adalah dari kawasan ini. Tempat ini dikenali sebagai Pomogunan Nunuk Ragang, nama yang diambil bersempena dengan kewujudan pokok Nunuk, yang pada suatu ketika dahulu "merah" satu perlambangan menunjukkan betapa ramai manusia di tempat ini.
Di kawasan muara percantuman dua batang sungai ini, terdapat sepohon pokok Kayu Ara (Nunuk). Saiz pokok Nunuk itu sangat besar dan sebahagian daripada akar serta dahan-dahannya condong ke arah sungai Liwogu. Dahan-dahan dan akar terjuntai ke sungai, sangat sesuai sebagai tempat rekreasi seperti memanjat, bergayut, berteduh dan sebagainya.
Penduduk di sini sangat ramai, ketika cuaca baik dan cahaya matahari memancar di ufuk barat dari jam 1.00 petang hingga 4.00 petang, ketika itulah ramai penduduk (tidak kira tua, muda, gadis, pemuda dan anak-anak dsb..) turun bermandi-manda di sungai Liwogu, sementara yang lain memanjat, bergayutan serta ramai yang berjemur di atas dahan-dahan rending Nunuk tersebut.
Suasana demikian berlaku hampir pada setiap hari dan pada masa yang hampir sama, kecuali cuaca tidak baik atau sungai Liwogu ini banjir. Maka apabila seseorang melihat pokok Nunuk dalam suasana seperti itu dari jarak jauh, sama ada dari puncak bukit mahupun dari sebarang sungai Liwogu, pemandangannya sangat menakjubkan. Pokok Nunuk kelihatan seolah-olah "aragang".
memuja semangat padi
1.2 Kehidupan Masyarakat Nunuk Ragang 
Masyarakat terawal Kadazandusun dikatakan telah menghuni tempat ini dalam keadaan bebas, menikmati berbagai-bagai jenis bekalan makanan yang mencukupi, baik makanan daripada hutan mahupun daripada sungai serta hasil daripada usaha pertanian. Keperluan hidup yang lain juga mudah diperolehi di sekeliling perkampungan Nunuk Ragang ini.
Kehidupan mereka aman dan damai, bersatu padu, mogitabang-tabang, mogiuhup-uhup, otoluod, obinsianan, orulan, ohinomod, aparu, onimot, obingupus, okupi, obintinong, obingkanggau, obintumbayaan, obinronok, obiniangasan, otuyu, obingopi, mamantang, otorini, opori, oining, obintudau, osuau, opohawang, obulun om onitinginawo.
Hidup yang tenang dan tenteram itu telah membolehkan mereka berfikir sambil menerokai "teknologi baru" bagi menambah kecekapan, menamnbah dan memudahkan urusan serta meningkatkan kesejahteraan hidup seharian. Bidang bidang yang diterokai antara lain ialah peralatan pakaian (seperti sinombiaka, tokuluk (sirung, linumbagai, golong, sinandang, limpogot, dll), peralatan pertanian (seperti ragus, basung, dangol, gagamas, kakali, guyudan, kisaran, tosung, rilibu/raya dll).
Peralatan perikanan (seperti tundalo, siud, bangkala, tambong, bubu sawak dll), peralatan penternakan(lukug, gading dll ), peralatan memburu (sopuk, tuwil, gaba, sungul, balatik, paliw, tandus, ramok, rungkasip, tabpai, sodik, tungkakub, pimpig, tawos dll), peralatan muzik dan bunyi-bunyian (seperti tagung, sompoton, turali, bungkau, suling pumpuak, dll), peralatan dan produk-produk ekonomi(seperti Bohungon, Basung, kakanan, luping, sigup, sada toosin, bilis, tipun, paha, tusi dll).

2.0 Budaya dan Tradisi Kadazan Dusun
2.1 Perayaan tradisi
pesta kaamatan disambut oleh Kadazandusun sebagai meraikan tuaian baik, tetapi Pesta Kaamatan juga disambut oleh semua kaum lain Sabah. Pesta Kaamatan disambut sepanjang bulan Mei walaupun perayaan ini hanya pada 30 dan 31 Mei. Kemuncak perayaan Kaamatan adalah peraduan ratu cantik atau unduk ngadau, tarian tradisi, dan upucara kemuncak yang dijalankan oleh Bobohizon "ketua pendita". 
Pesta Kaamatan bagi kaum Kadazan juga dikenali sebagai Tadau kaamatan dalam bahasa Kadazandusun.
Kadazan percaya kepada makhluk halus dan dipercayai terdapat lima makhluk halus: Kinoringan(Ketua makluk halus & Pencipta), Rusod(semangat semua benda hidup kecuali manusia), Koududuwo (semangat manusia), Tombiruo (semangat orang yang telah meninggal), dan Rogon (semangat jahat).
Menurut kepercayaan Kadazan, semangat padi merupakan kinoingan (Kinorohingan dalam dialek Dusun) yang dikenali sebagai Bambazon, disembah sebagai pencipta dan berkuasa sumber kepada kewujudan. Semangat padi Bambaazon dimuliakan pada pokok padi, beras,  dan nasi. Ramai yang mempercayai bahawa "Tanpa padi, tiada kehidupan."
Ketika pesta Kaamatan, penduduk Sabah mengenakan pakaian tradisi mereka dan bersuka-ria. Selain menari Sumazau dengan alat muzik tradisi, tapai (arak beras) dihidangkan sebagai minuman istimewa. Penduduk Sabah akan menyapa sesama mereka dengan ucapan 'Kopivosian Tadau Ka'amatan' atau 'Selamat Hari Menuai'. Pada hari kaamatan juga akan diadakan pertandingan ratu Unduk Ngadau untuk mengiktiraf gadis cantik dan bijak dari kalangan masyarakat Kadazan dan Dusun. 

Pesta Kaamatan atau di dalam bahasa kadazan "Magavau" ini merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati "Bambazon" iaitu semangat padi. Perayaan ini adalah amalan secara tradisi kaum kadazandusun sejak zaman berzaman. Perayaan "Magavau" ini biasanya diadakan selepas selesai menuai padi. Pesta Kaamatan yang kita rayakan dewasa ini telajh diluluskan oleh Majlis Undangan Kerajaan Koloni sebagai Cuti Umum sejak tahun 1960 lagi. Beliau yang bertanggungjawab untuk mengusulkan agar Pesta Kaamatan ini diisytiharkan sebagai Cuti Umum ialah Allahyaraham YAB Tun Haji Mohamad Fuad Stephens, SMN, PSM. SPDK, PNBS, bekas Ketua Menteri Sabah.
ratu kaamatan

Terdapat banyak sebutan perkataan Magavau ini mengikut dialek dan lokasi suku kaum Kadazandusun. Walau bagaimanapun ianya tetap membawa maksud yang sama.
Menurut cerita lisan, Kinoingan ( Tuhan ) dan isterinya Suminundu mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Huminodun. Untuk menyelamatkan orang-orang Kadazandusun daripada kebuluran kerana tidak mempunyai makanan yang mencukupi, maka Kinoingan terpaksa mengorbankan anak kesayangan mereka Huminodun. Huminodun dibunuh dan mayatnya dikubur menurut adat istiadat selengkapnya. Kononnya, mayat Huminodun itu telah mengeluarkan berjenis-jenis benih tumbuhan yang menjadi makanan utama kepada kita sekarang. Salah satu benih tumbuhan itu ialah padi. Oleh kerana sebahagian dari mayat Huminodun itu mengeluarkan benih p adi, maka wujudlah kepercayaan bahawa padi itu mempunyai semangat yang diberi nama "Bambazon".Bermula dari kejadian inilah orang-orang Kadazandusun memulakan upacara Pesta Kaamatan ( Pesta Menuai ) seperti yang kita rayakan dewasa ini. Perayaan seumpama ini mengharapkan agar rezeki yang akan datang bertambah baik dan lumayan. Upacara penghormatan terhadap semangat padi yakni padi-padi yang selesai dituai dan telah selamat dimasukkan ke dalam ketawai ( Tangkob ) iaitu bekas tempat menyimpan padi. Selain itu, perayaan Pesta Kaamatan ini juga mengingatkan kita akan rasa penghargaan dan penghormatan masyarakat Kaum Kadazandusun akan Penciptanya ( Kinoingan ) yang sanggup mengorbankan anak kesayangannya Huminodun untuk menyelamatkan orang-orangnya supaya tidak mati kebuluran.
tarian sumazau
2.2 Tarian Tradisi
tarian sumazau merupakan tarian tradisi suku kaum Kadazandusun yang terkenal di seluruh Malaysia. Tarian ritualnya memenuhi pelbagai fungsi seperti mengucap kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi dan untuk menolak bala, menyemah semangat, dan mengubati penyakit. Juga melaluinya ibu-bapa/keluarga dapat menonton dan memilih bakal menantu yang berpotensi.
Irama Sumazau adalah perlahan. Alat alat pengiring tarian adalah set gong dan gendang. Pasangan penari berhadapan dan menggerak-gerakkan kaki berlangkah kecil, sementara tumit kaki diangkat-turunkan mengikut irama. Ketika menari tangan dikepakkan keluar, gerakannya turun naik seperti burung terbang. Biasanya Sumazau ditarikan semasa hari keramaian majlis jamuan Pesta Kaamatan.
hinava
2.3 Makanan Tradisi 
Antara makanan tradisi yang terkenal di kalangan kaum Kadazan-Dusun ialah Hinava, Noonsom, Pinaasakan, Bosou, Tuhau,Sup Kinoring Bakas(tidak halal), dan Sup Manuk Lihing. Makanan-makanan ini dapat disediakan dengan pelbagai cara mengikut kebiasaan amalan tradisi kaum Kadazan-Dusun.
bosou
Untuk mengetahui lebih lanjut lagi sila layari: http://ms.wikipedia.org/wiki/Makanan_tradisional_kaum_Kadazan-Dusun
pakaian tradisi kadazan daerah papar
2.4  Pakaian Tradisi 
    Baju ini selalunya menggunakan kain hitam yang bersulamkan benang emas. Ia dipakai semasa pesta Kaamatan. Biasanya baju tersebut berbeza mengikut daerah. 

3.0 Sistem Sogit dalam Masyarakat Kadazan Dusun
 3.1 Definisi Sistem Sogit
Apakah maksud sistem sogit??? Mungkin perkataan ini jarang-jarang didengar terutama sekali terhadap masyarakat yang tinggal di semenanjung malaysia. Malah kemungkinan ada anak sabah yang tidak mengetahui maksud sogit. Sogit bermaksud denda. Selalunya denda yang dikenakan adalah dalam bentuk wang ringgit dan haiwan ternakan seperti kerbau, lembu, ayam serta khinzir. Ianya juga dianggap sebagai ganti rugi atau pampasan. 
Menurut kepercayaan, jika sesiapa tidak membayar denda yang telah dikenakan orang tersebut akan sentiasa berada dalam keadaan yang tidak aman. Hasil tanaman tidak menjadi dan cuaca akan sentiasa panas atau kemarau. Keadaan ini akan berlanjutan sehinggalah individu terbabit melunaskan denda tersebut seperti mengorbankan seekor kerbau sebagai tanda meminta maaf kepada penduduk kampung serta semangat atau roh-roh padi.
3.2 Dianggap sebagai Devian
Pesalah-pesalah ini dianggap devian oleh masyarakat mereka. Devian ialah pelanggaran atau penyimpangan dari norma kebudayaan. Ianya merangkumi perbuatan(melanggar undang-undang),kategori manusia(setinggan), sikap atau sifat(kerajinan). Dalam sistem sogit pula, pesalah yang dikenakan sogit dianggap devian kerana melakukan tindakan yang telah melanggar norma-norma budaya masyarakat kaum kadazan dusun. Setiap kesalahan yang telah dilakukan mempunyai degree dan tahap yang berbeza. Ianya juga dikenakan hukuman yang berbeza.
salah satu kesalahan yang boleh dikenakan sogit
Antara kesalahan-kesalahan yang boleh dikenakan sogit ialah:
1.     Mencuri hasil tanaman/ternakan
2.     Merosakkan tanaman
3.     Membunuh haiwan ternakan
4.     Merogol dengan paksa atau suka sama suka
5.     Melarikan anak gadis
3.3 Mahkamah Anak Negeri
Individu yang mempunyai kuasa untuk mengenakan hukuman atau menetapkan nilai sogit ialah ketua kampung. Ianya mestilah mengikut hukam adat. Namun, tidak semua kes boleh diselesaikan oleh ketua kampung. Mahkamah anak negeri akan menyelesaikan masalah yang terlalu berat seperti pergaduhan yang melibatkan kerugian yang melebihi rm1000 dan ke atas. Ketua anak negeri akan memutuskan denda yang sesuai dengan kesalahan tersebut. Malah, terdapat juga kes yang terpaksa melibatkan campur tangan pihak berkuasa tempatan(PBT). Kerajaan telah melantik ketua daerah, ketua anak negeri dan ketua kampung untuk menganggotai mahkamah anak negeri. tujuan utama penubuhan mahkamah anak negeri adalah untuk memastikan kebajikan kaum-kaum yang tinggal di luar bandar terpelihara dan adat resam mereka sentiasa terjaga.
Tujuan utama kerajaan mewujudkan mahkamah anak negeri ialah:
1.     Tuntutan waris yang bukan beragama islam sahaja
2.     Urusan perkahwinan
3.     Urusan penceraian
4.     Pentadbiran ordinan mahkamah anak negeri
5.     Perbicaraan yang melibatkan adat resam
Sistem sogit bukan sahaja diamalkan oleh kaum kadazan dusun malah hampir kesemua kaum juga mempunyai adat yang sama. Namun, kaum-kaum lain tidak mempraktikkan adat ini secara menyeluruh malah ada kaum yang terus meninggalkan adat ini. Sistem ini telah wujud sejak zaman nenek moyang kita dahulu. Tujuan utama sogit bukan untuk mengaut keuntungan, namun ia lebih kepada bentuk ganti rugi. Malah orang-orang tua mengatakan sogit dapat mengeratkan tali persaudaraan yang sedia ada.
Tujuan utamanya adalah untuk melindungi amalan dan adat mereka. Jika dilihat dari sudut yang berbeza, tentu ada diantara kita yang beranggapan bahawa mereka mudah menilai kesalahan dengan wang ringgit, namun pada pendapat peribadi saya mereka berusaha melindungi dan menjaga nilai-nilai ketimuran yang masih tersisa. Namun ada sesetengah pihak yang memanipulasi pengertian sogit ini dengan mengenakan denda yang terlalu tinggi untuk pesalah memenuhinya.  Malah tidak ramai yang mengamalkan sogit, hanya masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman dan kampung yang masih berpegang teguh terhadap sistem ini yang boleh kita kategorikan sebagai satu budaya.
4.0  Kesimpulan
masyarakat Kadazandusun memang memiliki warisan budaya yang sungguh unik, asli dan menarik. Justeru itu, sama-sama lah kita memelihara dan dan mempertahankan warisan budaya ini  untuk tatapan dan penyelidikan generasi masa akan datang.
 5.0 Sumber Rujukan 
http://ms.wikipedia.org/wiki/Tarian_Sumazau
http://www.sabahtourism.com/sabah-malaysian-borneo/en/culture/6-the-kadazandusun/
http://en.wikipedia.org/wiki/Kadazan-Dusun
http://www.sabah.edu.my/smk.dpmoj/index_files/adat_penduduk.htm



Tiada ulasan:

Catat Ulasan