Khamis, 6 Oktober 2011

209037 Mohd Rafiq Bin Ramli

Topik: KOMUNITI DARI SUDUT BUDAYA HIDUP DAN EVOLUSI SOSIOBUDAYA MASYARAKAT DI KEDAH
Penanaman Padi Di Kedah





Bermula dari pertengahan abad kelapan belas, di masa pembukaan tanah paya dibuat secara besar-besaran ekonomi pertanian Kedah merupakan asas utama struktur pemerintahannya. Selain daripada kemasukan penduduk dari alam Melayu sekitar, kebanyakan penduduk Kedah dari pendalaman iaitu dari daerah-daerah Sik, Baling, Padang Terap, Kulim dan Bandar Baharu juga berhijrah ke dataran Kedah di dalam daerah-daerah Kubang Pasu, Perlis, Yan, Kota Star dan Pendang. Penumpuan ini menjadikan Wilayah dataran yang pada masa ini di bawah pentadbiran pembangunan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sebagai wilayah pusat. Di tengah-tengah wilayah pusat ini terletak Alor Star, bandar pusat yang menjadi penumpuan segala kuasa politik dan ekonomi Negeri Kedah


Pewujudan golongan pegawai-pegawai pemerintah dari masyarakat tani berlaku terus-menerus apabila berlaku pengambilan tenaga kerja pada peringkat pusat seperti menjadi penyukat-penyukat tanah di pejabat tanah, kerani-kerani rendah dan lain-lain. Dan hasil dari susun-lapis masyarakat yang baharu ini ialah perbezaan sebahagian cara-cara hidup rakyat tani biasa. Boleh dikatakan budaya-budaya kecil tertentu timbul dari proses susun lapis yang baharu ini. Misalnya cara pakaian, tuturkata, sikap, sistem nilai dan kumpulan-kumpulan sosial mula berbeza sedikit sebanyak dari kebiasaan rakyat tani biasa. Ini dibolehkan oleh tahap pendapatan yang lebih tinggi dari pendapatan rakyat tani biasa, hasil dari kekuasaan pemegangan tanah-usaha yang lebih besar, dan pendapatan dari upahan kerja di dalam birokrasi kerajaan.




Jikalau dahulu rakyat ini hanya terpaksa meluangkan 1/3 masa kerjanya untuk bekerja di sawah raja, tetapi di dalam zaman baharu ini mereka terpaksa juga bekerja di sawah-sawah orang besar jajahan dan penghulu. Hanya sedikit sahaja masa kerja di dalam sesuatu musim yang tinggal untuk mereka mengusahakan tanah yang diberi untuk menampung hidup mereka sendiri. Didalam pada ini boleh dikatakan tanah-tanah yang paling subur adalah diberi hak usaha kepada golongan atasan. Hanya tanah-tanah yang kurang subur diberi hak usaha kepada rakyat tani. Oleh sebab sesuatu musim itu mempunyai masa-masa optimum untuk penanaman masa-masa inilah yang rakyat tani dikerah untuk mengusahakan tanah golongan atasan tadi. Masa untuk tanah mereka sendiri adalah di masa hujan sudah mulai berlalu.








Sistem Penanaman Padi 
Sistem penanaman padi cara tradisional di Negeri Kedah dapat di kelaskan kepada dua musim iaitu:
  1. Musim Bersawah
  2. Musim Menuai
Musim Bersawah
Masyarakat petani tradisional mula turun ke sawah apabila tibanya musim hujan. Ketika ini mereka akan sibuk menyiapkan segala kelengkapan yang berkaitan dengan persawahan dan juga memastikan petak-petak sawah mereka di takungi air hujan secukupnya.
Dalam mengerjakan sawah, peralatan persawahan tradisional seperti tenggala, penyisir (sisir), cangkul, tajak, tenggiling dan lain-lain digunakan.






Peralatan-Peralatan Tradisional Tanaman Padi 
A. Alat-alat Untuk Tanaman Padi
  1. Tenggala Perlis dan Tenggala China
  2. Kuku Kambing
  3. Cangkul
  4. Tajak
  5. Sisir Besi
  6. Sisir Panjang (Sisir Kapar)
  7. Palong
  8. Tenggiling
  9. Terendak
  10. Pencakar/Pencakar Bara
B. Alat-alat Untuk Menuai/Selepas Menuai
  1. Tong Pukul Padi, Tangga dan Layar
  2. Ketam (Renggam)
  3. Sabit (Berbagai Jenis)
  4. Pengangin Padi/Tikar Mengkuang
  5. Guni/Tali/Jarum
C. Alat Proses Padi
  1. Lesong Tangan/Halu
  2. Lesong Kaki/Hindik
  3. Nyiru Penampi Padi/Penampi Beras
  4. Pengisar Beras
D. Alat Penyimpanan Padi/Beras
  1. Kepok/Jelapang Padi
  2. Berbagai jenis Gebok
  3. Berbagai jenis Tempayan
E. Alat Pengangkutan Padi
Pengangkutan darat:
  1. Basikal
  2. Beca
  3. Kereta Tolak
  4. Bakul Junjung
  5. Anok
  6. Kandar
  7. Kereta Lembu
Pengangkutan Air:
  1. Sampan/Perahu kecil
F. Alat Penyimpanan/Sukat Padi dan Beras
  1. Pikul
  2. Kilo
  3. Kati
  4. Gantang
  5. Cupak
  6. Leng
  7. Kopi
  8. Kepoi
Sistem Penanaman Padi Cara Tradisional Di Kedah




1. Penyediaan Tapak (Petak) Semaian 
Setelah siap segala peralatan yang diperlukan, para petani akan turun beramai-ramai ke sawah masing-masing untuk memulakan kerja-kerja seperti menggala (membajak) dan membersih petak-petak sawah untuk dijadikan tapak semaian. Tapak semaian merupakan tempat menyemai benih-benih padi untuk dijadikan semai (anak padi sebelum dipindah/ditanam di dalam petak-petak sawah yang disediakan).Penyediaan tapak sawah memerlukan penelitian yang rapi. Tanahnya mestilah betul-betul lembut dan bersih daripada sebarang jenis tumbuhan air di dalamnya. Bagi merata dan melincinkan permukaaan tanahnya, sejenis alat yang di namakan "Pembadai" digunakan. Pembadai ini kebiasaannya ialah sebatang pokok pisang yang dipotong mengikut keperluan dan dibuang kulitnya dan kemudian ditarik dengan penyisir kecil (sisir kapar). Keadaan tanah yang lembut akan memudahkan kerja-kerja mencabut semai.







Tenggala
Untuk membajak sawah.Diperbuat daripada kayu halban jenis keras. Alat ini terbahagi kepada dua iaitu Tenggala Perlis dan Tenggala Cina. Tenggala-tenggala ini ditarik oleh seekor kerbau dan ada yang ditarik oleh dua ekor kerbau atau lembu.











Keri, Tajak dan Sisir KaparKeri dan Tajak digunakan untuk menajak tanah supaya batas sawah menjadi rata. Manakala sisir kapar digunakan untuk mencakar tanah supaya menjadi lebih rata.










2. Penyediaan Benih Padi 


Penyediaan Petak Semaian (Bekas Semai)

Kerja-kerja penyediaan petak semaian (bekas semai) sedang dijalankan.Petak semai merupakan tempat pembiakan benih padi untuk dijadikan semai (anak padi) sebelum dipindahkan ke petak sawah yang disediakan.





Benih padi yang terpilih akan diisi ke dalam guni (karung), kemudian direndam ke dalam air selama 3 hari 3 malam. Selepas direndam, benih padi tersebut diangkat dan disejat ke dalam bakul yang jarang disebut sebagai "bakul lau", kemudian ditutup dengan guni dan dibiarkan selama 3 hari 3 malam untuk proses percambahan mata tunas dan akar. Setelah benih tersebut bercambah, ianya terus ditaburkan ke dalam petak-petak semaian yang disediakan dan dibiarkan tumbuh menjadi semai (anak padi) selama jangka masanya 30 hingga 44 hari untuk tempoh cukup matangnya. Kebiasaannya 44 hari.


Penimba Air
Diperbuat daripada tong minyak dan berhulukan kayu panjang serta berkaki tiga. Ia akan digunakan untuk menimba air masuk ke dalam petak semaian.

















Bakul Mengkuang
Digunakan untuk membawa biji benih padi ke tapak semaian semasa hendak menabur.Ia diperbuat daripada mengkuang yang dianyam rapi. Bagi peladang-peladang, bekas-bekas lain seperti tin tidak boleh digunakan untuk mengisi benih oleh kerana dipercayai boleh menghilangkan semangat padi.






Sabit

Untuk memotong rumput-rumput yang tumbuh di atas batas sawah. Sabit ini diperbuat daripada besi.















3. Mengerjakan Sawah 
Sementara menantikan anak padi (semai) cukup tempoh matang, petani-petani akan terus menjalankan kerja-kerja membajak dan membersihkan petak-petak sawah. Kerja-kerja yang seringkali dilakukan oleh mereka ialah:
1.  Menggala (Membajak) Sawah
Peralatan persawahan tradisional yang digunakan ialah tenggala. Biasanya tenggala ini   dibuat daripada kayu-kayu terpilih yang senang dibentuk iaitu lazimnya kayu halban. Dalam menjalankan kerja-kerja ini selalunya tenaga kerbau digunakan tetapi ada ketikanya tenaga lembu digunakan. Biasanya kerja-kerja yang dijalankan dengan kuasa lembu memerlukan 2 ekor lembu kerana tenaga lembu tidak sekuat tenaga kerbau. Fungsi alat tenggala ini ialah untuk membalik-balikkan tanah sawah.
2.  Menyisir (Sisir)
Setelah selesai kerja-kerja menggala (membajak), ketulan-ketulan tanah semasa menggala akan dibiarkan selama beberapa hari berendam air, bertujuan untuk melembutkannya. Untuk menghalus, merata dan memecahkan ketulan-ketulan tanah serta membersihkannya daripada rumput rampai, sejenis alat persawahan tradisional yang disebut sebagai penyisir atau sisir digunakan. Ada tiga jenis penyisir iaitu:
  1. Penyisir Kayu
    Penyisir ini dibuat daripada kayu cengal, halban atau kayu beruas dan mata atau giginya dibuat daripada batang pokok pinang atau pokok nibong yang diraut halus.
  2. Penyisir Besi
    Penyisir ini berbentuk serupa dengan penyisir kayu. Ianya diperbuat daripada besi semuanya kecuali pemegangnya sahaja dibuat daripada kayu.
  3. Penyisir Kapar / Sisir Kapar
    Penyisir ini berbentuk T. Ianya dibuat daripada kayu dan matanya daripada batang nibong atau pinang.




Menggala (Membajak Sawah)
Kerja-kerja mengggala (bajak) sawah sedang dilakukan oleh seorang petani dengan menggunakan tenggala yang ditarik oleh seekor kerbau.












3.Menggiling Tanah 


C. Menggiling Tanah
Kaedah ini merupakan peringkat terakhir dalam penyediaan petak-petak sawah. Alat yang digunakan ialah tenggiling. Ianya diperbuat daripada batang kayu yang dipotong mengikut keperluan dan berbentuk seperti belimbing segi. Tenggiling ini terbahagi kepada dua jenis iaitu "Tenggiling Belangkas" dan "Tenggiling Belimbing". Cara penggunaannya sama seperti kerja-kerja menggala (membajak) dan menyisir kerana kerbau digunakan untuk menariknya. Kegunaannya ialah untuk meratakan tanah sawah dan melembutkannya bagi memudahkan kerja-kerja penanaman padi dijalankan.
Setelah selesai semua kerja-kerja seperti menggala (membajak), menyisir (sisir) dan menggiling, air akan ditakung semula dalam petak-petak sawah untuk proses penanaman padi.




Tenggiling
Untuk memecahkan tanah yang berketul dan meratakan tanah selepas disisir. Proses meratakan tanah belum begitu baik tanpa menggunakan tenggiling.












Diperbuat daripada kayu yang berbentuk seperti belimbing segi. Panjangnya antara 5 hingga 7 kaki dan bergaris pusatnya 6 inci. Kerbau diperlukan untuk menjalankan Tenggiling.












4. Memindahkan Anak Padi (Semai) Dari Tapak Semaian 
Anak padi (semai) yang sudah cukup umur (tempoh) akan dicabut dan dijadikan "Cap" atau "unti" (ketul). Biasanya kerja-kerja ini dilakukan oleh kaum wanita secara berderau (gotong-royong). Semai-semai yang telah siap dijadikan ketul akan dipindah (angkut) ke petak-petak sawah oleh kaum lelaki dengan menggunakan pengandar/salang yang diperbuat daripada buluh atau ditarik menggunakan palung (sampan kecil). Ketul-ketul semai akan diatur di petak-petak sawah bagi memudahkan kerja-kerja menanam padi dijalankan.



Mencabut Semai
Kerja-kerja mencabut semai sedang dilakukan oleh kaum wanita








Semai-semai
Semai-semai yang telah diketulkan di himpun, kemudian diangkat ke petak-petak sawah yang disediakan untuk proses menanam padi.









Pengandar semai
Alat teknologi persawahan tradisional ini digunakan untuk mengangkut/memindahkan ketul-ketul semai dari petak semaian ke petak-petak sawah untuk ditanam. Alat ini juga dikenali sebagai pengandar rumput




5. Menanam Padi 
Kerja-kerja ini dijalankan oleh kaum wanita secara berderau (gotong royong). Dalam proses ini anak padi (semai) yang cukup tempoh matang akan dipindahkan ke dalam petak-petak sawah yang disediakan. Cara penanamannya dijalankan dengan empat atau lima jalur yang dipanggil "tekap". Kerja-kerja menanam padi ini dijalankan dengan menggunakan tangan atau "Kuku" Kambing iaitu sejenis alat yang pemegangnya diperbuat daripada kayu. Manakala hujungnya daripada besi yang dicabangkan sedikit untuk memudahkan semai diletak sebelum ditanam ke tanah.





Kuku Kambing
Ia digunakan untuk menanam padi. Diperbuat daripada besi dan berhulukan kayu. Sementara di bahagian hujung besi terdapat cabang seperti kuku kambing.





6. Penjagaan 
Kerja-kerja ini meliputi membaja, merumput, menyulam (menggantikan anak padi yang mati), penjagaan air dan serangan penyakit padi, tikus dan burung.Kerja-kerja ini dijalankan berterusan sehinggalah padi masak. "Orang-orang" atau "Selayut" akan dipacak di tepi-tepi sawah bertujuan untuk menakutkan binatang seperti tikus dan burung daripada memusnahkan padi yang telah masak.



Musim Menuai

  1. Dalam masyarakat petani tradisional, musim ini dikenali juga sebagai musim mengerat atau mengiau. Musim ini kebiasaannya jatuh pada musim kemarau. Bagi mendapatkan hasil padi, beberapa kaedah tradisi telah digunakan seperti mengetam, mengiau dan mengerat. Kaedah ini merupakan satu proses untuk mendapatkan buah padi. Kerja-kerja ini dijalankan oleh kaum wanita secara berderau (gotong-royong).

    A. Mengetam




    Kaedah ini menggunakan sejenis alat yang dibuat daripada kayu dan mempunyai mata di atasnya yang dikenali sebagai "renggam". Alat ini digunakan untuk memotong tangkai padi yang masak untuk dijadikan gemai (gemal) padi.









    B. Mengiau padi

    Kaedah ini dijalankan dengan menggunakan "pisau pengiau". Teknik penggunaannya sama seperti mengetam iaitu memotong tangkai (tengkok) pokok padi. Kaedah ini seringkali dilakukan ke atas pokok padi yang rebah.









    C. Mengerat/Memotong Padi



    Kaedah ini dijalankan dengan menggunakan pisau mengerat. Batang pokok padi akan dipotong dan kemudiannya dihimpun untuk dijadikan "kedap".








    Cekam
    Ia diperbuat daripada ranting kayu yang bercabang dan diasah tajam. Ia juga digunakan untuk mengangkat pokok padi yang rebah sebelum proses menuai.






    2.Menghirik (Mengirik)-Proses ini merupakan satu kaedah tradisional untuk meleraikan buah padi daripada tangkainya. Kerja-kerja ini dijalankan setelah selesai kerja-kerja mengetam dan mengiau padi dijalankan. Terdapat beberapa cara yang digunakan. Antaranya

  2. A. Menggunakan Kerbau-Kaedah ini digunakan sekiranya petani-petani mempunyai bilangan petak-petak sawah yang banyak. Lazimnya kerja-kerja ini dijalankan pada waktu malam hingga ke dinihari secara gotong royong (berderau). Mengikut kaedah ini, gemai-gemai padi akan dihimpun dan diletakkan di atas tikar dan selepas itu kerbau tersebut akan berjalan berulangkali di atasnya sehinggalah buah padi terlerai.


B. Menggunakan Kayu (Dong)
Ianya diperbuat daripada kayu dan berbentuk melengkung. Mengikut kaedah ini, gemai-gemai padi akan dilonggokkan di atas tikar pada satu tempat. Kemudian para petani secara beramai-ramai akan memukul gemai-gemai tersebut dengan "dong" sehinggalah buah padi terlerai. Di samping itu terdapat juga di setengah-setengah tempat kaum wanita melakukan kerja-kerja ini dengan menggunakan kaki. Kesimpulannya walau apa kaedah yang digunakan adalah bertujuan untuk meleraikan buah padi daripada tangkainya.








 3. Memukul (Membanting) Padi





Proses ini juga merupakan satu kaedah untuk memisahkan buah padi daripada tangkainya. Dalam proses ini sebuah tong padi yang di lengkapi dengan sehelai layar yang diperbuat daripada tikar dan sebuah tangga kecil di dalamnya berserta dengan kayu (buloh) yang mencekangkan layar yang di kenali sebagai "turus layar" akan digunakan. Kedap-kedap padi akan dipukul ke dalam tong padi dan buah padi akan terlerai masuk dan terhimpun di dalam tong tersebut. Buah padi kemudiannya akan diisikan ke dalam guni (karung).







4. Mengangkut Padi


Buah-buah padi yang telah diisi ke dalam guni kemudiannya akan diangkut dengan menggunakan "anok" atau kereta kerbau. Kedua-dua jenis alat pengangkutan ini menggunakan tenaga kerbau untuk menariknya.









5. Menghuroi (Menguroi)
Alat yang digunakan untuk proses ini ialah nyiru jarang yang diikat (gantung) pada tiga batang buluh sebagai penyangga untuk berdiri. Proses ini dijalankan bertujuan untuk membersihkan buah padi daripada daun-daun padi kering (kambu) dan hampa bagi mendapatkan buah padi yang bersih. Proses ini dijalankan di kawasan tanah lapang dengan menggunakan bantuan angin. Buah padi yang telah siap dihuroi akan dijemur sehingga betul-betul kering supaya tidak rosak semasa disimpan.








6. Menyimpan Padi
Buah-buah padi yang telah kering dan bersih kemudiannya akan diisikan atau diangkut ke dalam bekas padi (jelapang) manakala gemai-gemai padi pula akan diisi ke dalam kepok (kerubung) yang diperbuat daripada buluh yang selalunya di letakkan berhampiran bekas padi.








7. Penghasilan Beras
Penghasilan beras secara tradisional dijalankan dengan menggunakan lesung hindik (lesung kaki), lesung tangan, pengisar dan penampi padi.









8. Menampi
Beras yang telah siap ditumbuk atau dihasilkan melalui proses penghasilan beras tradisi kemudiannya ditampi dengan menggunakan sejenis alat penampi yang dikenali sebagai "nyiru telor buaya" yang diperbuat daripada buluh untuk mengasingkan antah, sekam dan dedak beras bagi menghasilkan beras bersih.






KESIMPULANNYA


Kesimpulannya, cara penghasilan beras oleh penduduk di negeri Kedah telah berubah dari semasa ke semasa. Sebagai contoh, dahulu mereka menghasilkan beras dengan cara menggunakan tenaga kerja manusia sepenuhnya, sekarang banyak tenaga kerja manusia telah digantikan dengan tenaga kerja jentera-jentera yang lebih cepat untuk menghasilkan padi. Justeru itu, evolusi sosiobudaya masyarakat dapat dilihat dengan jelas.


RUJUKAN
 http://eprints.utm.my/5022/

 



















http://www.memori-kedah.com/page_pengenalan.php?p=2&idstopic=50&idskandungan=224&mtopic=6

1 ulasan: