Khamis, 13 Oktober 2011

127148 Muhamad Tarmizi Bin Rozlan



Ulama terengganu

Pengenalan 


Tarikh sebenar kemasukan islam di terengganu tidak begitu jelas kerana tidak terdapat catatan yang jelas memperihalkan peristiwa seumpama itu. Berasaskan penemuan batu bersurat di kuala berang yang mencatatkan tarikh pada jumaat 4hb, rejab 702 (22 Feb 1303) kita boleh mengadaikan bahawa islam sudah sedia berkembang di terengganu pada kurun ke 14 atau sebelumnya, dan berdasarkan catatan luar kita boleh mempercayai  bahawa terengganu telah pun muncul sebagai pusat kehidupan yang didatangi oleh pedagang-pedagang, di samping menjadi tumpuan oleh pendakwah-pendakwah, dalam dan luar negeri. Dalam hal ini, satu perkara yang tidak boleh dipertikaikan ialah penglibatan para ulama untuk menyebarkan agama islam supaya agama islam tertegaknya di bumi terengganu darul iman dan lebih dikenali sebagai “tanah jawi”.



 

    Tok ku Paloh ulama besar Terengganu 

 

 


Ulama Besar Terengganu pada abad ke-19, Sayyid Abdul Rahman Al-Idrus atau Tokku Paloh Idrus, turut dikenali sebagai wali Allah yang penuh keramat serta sangat ditakuti penjajah. Diceritakan pada suatu ketika, British cuba berunding dengan Sultan Terengganu iaitu Sultan Zainal Abidin III supaya membenarkan mereka menduduki kawasan Bukit Besar tetapi baginda menyuruh penjajah itu menemui Tokku Paloh.

Baginda menyebut, "Terengganu ini ada tuannya, hendaklah berunding dengan tuannya terlebih dulu," yang mungkin bermaksud bahawa Tokku Paloh adalah orang yang lebih berhak memutuskan permintaan berkenaan. Walaupun dikenali sebagai ulama, Tokku Paloh turut membabitkan diri dalam bidang pentadbiran dan diplomatik di Terengganu apabila dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Terengganu selain penasihat utama Sultan dalam pelbagai hal.

Tokku Paloh dilahirkan pada 1817 di Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu. Ulama itu mendapat pendidikan awal daripada bapanya sendiri iaitu Saiyid Muhammad al-Aidrus atau dikenali Tokku Tuan Besar, selain beberapa ulama tempatan sebelum berhijrah ke Makkah untuk mendalami ilmu agama dan menimba pengalaman. Sekembalinya dari Makkah selepas kira-kira 10 tahun menuntut ilmu di sana, Tokku Paloh terus mengajar di masjid peninggalan ayahnya di Kampung Cabang Tiga, Terengganu sebelum membabitkan diri dalam bidang pentadbiran negeri.



Tokku Paloh memiliki banyak ilmu dalam bidang kerohanian terutama ilmu tasawauf dan sufi. Beliau juga menjadi khalifah kepada Tareqat Naqsyabandiah dan turut mengamal serta mengembangkan amalan  Syahadat Tokku iaitu satu amalan yang disusun oleh bapanya. Kepercayaan Sultan Terengganu terhadap dirinya menyebabkan Tokku Paloh diamanahkan Sultan Zainal Abidin III untuk mentadbir kawasan Paloh selain mengawasi beberapa daerah di Hulu Terengganu antaranya Kuala Berang hingga Cabang Tiga.

Tokku Paloh meninggal dunia pada September 1917 selepas jatuh sakit pada usia 100 tahun. Tidak lama kemudian, Sultan Zainal Abidin III mangkat pada 26 November 1918. Selepas kewafatan ulama itu, barulah British berani dan berjaya menjajah Terengganu pada 24 Mei 1919.




2


            Tok pulau manis dan pengasasan pendidikan islam




Syeikh Abdul Malik atau lebih dikenali Tok Pulau Manis dilahirkan di Kampung Pauh, Hulu Terengganu pada tahun 1060an/1650an, berketurunan Sharif Mohammad, yang berasal dari Baghdad. Menerima pendidikan agama diperingkat awal dari kaum keluarganya sendiri.

Beliau mendalami Fikah al-Shafie dengan berguru kepada Syeikh Ibrahim al-Kurani yang telah menggantikan Ahmad Qushashi yang menjadi pengajar kepada pengikut Imam Shafie di sana. Bidang Usuluddin yang diikutinya pula adalah berdasarkan pendekatan Imam al-Asya’ari yang menjadi pegangan umum pengikut ahl-al Sunnah wal Jamaah, manakala bidang Tasawuf yang diceburinya pula adalah berdasarkan etika ubudiyah kepada pengajian Tasawuf.

Adalah dipercayai bahawa Syeikh Abdul Malik pulang ke tanah air sekitar pertengahan tahun 1960an ketika berusia lebih kurang 40 tahun. Syeikh Abdul Malik menjadi peneraju program pendidikan agama di Terengganu, sama ada selaku ulama istana atau sebagai guru kepada orang ramai. Di istana, Syeikh Abdul Malik berdampingan bukan sahaja dengan Sultan Zainal Abidin I tetapi juga dengan pembesar-pembesar yang turut berguru dengannya. Di dalam upacara keagamaan, beliau diberi peranan mengetuai majlis-majlis tersebut. 

Dalam penglibatannya sebagai Syeikh al-Ulama dan Mufti beliau mengeluar fatwa-fatwa berhubung dengan pegangan keIslaman dan hukum hakam. Dengan berpandukan pengalaman pengajian di Jawa, Aceh dan Mekah, beliau telah menjadikan Pulau Manis sebagai tempat pengajaran dan ibadat yang didatangi oleh pelajar-pelajar dari jauh dan dekat. Adapun kitab beliau yang kedua terbesar selepas Hikam Melayu, iaitu  Kitab Kifayah merupakan sebuah karya yang merangkumi Usuluddin dan Fekah. 

Syeikh Abdul Malik atau Tok Pulau Manis meninggal dalam lingkungan usia 86 tahun  iaitu pada  tahun 1149H bersamaan 1736 sebagaimana yang terakam pada makamnya.




3    

             Haji mat shafie dan pengajian pondok di losong





Ahmad Shafie bin Haji Muhammad Amin 1862-1945 atau nama penuhnya Haji Ahmad Shafie bin Haji Muhammad Amin merupakan salah seorang daripada ulamak Melayu yang bertanggung jawab mengembangkan syiar Islam di nusantara. Di Terengganu didikan Pondok yang terkenal sebagai Pondok Losong Haji Mohd Shafie (Hj Mohd Shafie Losong adalah cucu kepada Tok Subuh Abdul Rahman) dia berhijrah ke Terengganu untuk belajar dari Tokku Paloh (Syed Abdul Rahman Al-Idrus) dan terus berumahtangga dan membuka pengajian pondok di Losong, Kuala Terengganu. Kampung tersebut dikenali sebagai Losong Haji Mohd Shafie sehingga sekarang.

Hj Mohd Shafie hidup sezaman dengan Tok Kenali Kelantan. Tok Kenali pernah berkata: "Tidak ada orang lain (di zaman itu) yang lebih dalam ilmu tasawwufnya dari Hj Mohd Shafie Losong"

Hj Mohd Shafie Losong terkenal sebagai ulama yang sangat warak dan penuh dengan kekeramatan. Sewaktu Terengganu dilanda kemarau pada awal kurun ke-20, pemerintah Terengganu akan bertanya kepada  beliau di mana tempat yang perlu digali perigi kerana tempat yang ditunjukinya biasanya akan mempunyai air.

Antara muridnya

Tuan Guru Haji Bidin atau nama sebenarnya, Zainal Abidin bin Aman bin Mat Ali ialah seorang ulama yang terkenal di Terengganu. Beliau dilahirkan pada 1893 di Kampung Tasik, Wau, Ulu Dungun. Ibunya, Saadiah Jaafar ialah seorang ibu tunggal setelah suaminya meninggal dunia, tetapi kemudian berkahwin dengan Hamzah, iaitu datuk kepada bekas Bendahari Agung PAS, Ustaz Abdul Wahab Yunus. 

Haji Bidin menjadi anak yatim semenjak kecil, tetapi mendapat didikan agama daripada ibunya. Ketika berusia 11 tahun, belia dihantar belajar dengan Haji Taib Hassan dan Ustaz Baki Awang di Kampung Sindol. Pada 1906, beliau memasuki Pondok Pulau Serai dan berguru dengan Tuan Guru Haji Yusof bin Lebai Isa selama enam tahun. 

Setelah itu beliau berhijah pula ke Pondok Losong untuk berguru dengan Tuan Guru Haji Mat Shafie Losong yang terkenal itu 1914.

4  
      

      Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas

Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas ulama paling berpengaruh di Terengganu tidak dapat dinafikan bahawa yang mewarnai corak keIslaman di Terengganu mulai peringkat awal hingga abad ke-20, terdiri daripada dua golongan ulama atau penyebar Islam. Golongan itu ialah, pertama: Berasal daripada ulama-ulama Patani, dan kedua: Daripada keturunan Rasulullah s.a.w. atau golongan `sayid'. Di antara ulama yang paling besar pengaruhnya di Terengganu ialah Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani atau SyeikhAbdul Qadir Bukit Bayas, Terengganu.

Pendidikan

Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim mendapat pendidikan asas di beberapa pondok pengajian di Patani. Walaupun ditinjau dari segi pangkat, nasab beliau adalah peringkat datuk saudara kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, namun ditinjau dari segi umur pula Abdul Qadir lebih muda daripada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Menurut riwayat, Abdul Qadir dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pernah sama-sama belajar dalam sebuah pondok, sama ada di pondok Kuala Bekah (Patani) mahu pun di pondok-pondok lainnya. Bahkan pernah sama-sama belajar di Mekah.

Dalam riwayat yang lain pula menyebut bahawa Syeikh Abdul Qadir pernah belajar kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Jadi beliau termasuk peringkat murid kepada Syeikh Daud Abdullah al-Fathani. Ketika beliau melanjutkan pelajaran ke Mekah, beliau berguru kepada Syeikh Muhammad Shalih bin Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani, Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaludin Aceh. Kepada ulama-ulama Arab pula beliau belajar di antaranya kepada Syeikh Muhammad Shalih bin Ibrahim, Mufti Syafi'ie di Mekah, Syeikh Ahmad al-Marzuqi dan lain-lain. Setelah memperoleh ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang di Mekah dan Madinah, beliau turun ke Jawi. Pertama kali ke sana beliau tidak langsung ke negeri asalnya Patani, tetapi beliau ke Pulau Duyung, Terengganu. Langkah itu diambilnya kerana di Pulau Duyung Kecil, Terengganu itu ahli keluarganya lebih ramai dan lebih dekat daripada di Patani sendiri. Di Pulau Duyung Kecil, Terengganu beliau memulakan aktivitinya sebagai seorang ulama.

Dipercayai beliau datang ke Pulau Duyung kali kedua ini sekitar tahun 1830an M. Ketika itu beliau mulai mengajar di Kampung Paya Bunga, Duyung. Syeikh Abdul Qadir mendirikan sebuah mesjid di Bukit Bayas. Di kedua-dua tempat itu beliau membina pengajian pondok menurut tradisi di Patani. Kemudian oleh sebab beliau memusatkan aktivitinya di Bukit Bayas, maka terkenallah namanya kemudian hari dengan gelaran Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas, pengganti kepada nama terkenal sebelumnya iaitu gelaran Syeikh Abdul Qadir Duyung (Tok Duyung sahaja). 

Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani Bukit Bayas, Terengganu wafat dalam tahun 1864 M di Kampung Paya Bunga, Terengganu. Riwayat lain menyebut beliau wafat di Bukit Bayas, Terengganu.





Tok Syeikh Duyung

 
                                                         Makam tok syeikh duyong

Wan Abdullah bin Wan Muhammad Amin (Tok Syeikh Duyung) seperti ulama-ulama Patani lain tetap mengajar dua jenis kitab, iaitu yang berbahasa Melayu dan berbahasa Arab. Kitab-kitab bahasa Melayu yang diajarkan diutamakan karangan gurunya, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Kitab-kitab bahasa Arab yang diajarkan adalah karangan ulama-ulama yang terkenal dalam pelbagai disiplin ilmu. Yang paling diutamakan dalam tasawuf ialah Ihya’ ‘Ulumid Din oleh Imam al-Ghazali.

Di antara murid Tok Syeikh Duyung yang menjadi ulama besar lagi terkenal ialah Syeikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani, Tukku Paloh dan Haji Wan Muhammad (anak beliau sendiri) yang pernah menjadi Mufti Terengganu setelah Tok Syeikh Duyung wafat. Di kalangan Sultan Terengganu yang pernah menjadi murid Tok Syeikh Duyung ialah Sultan Omar dan Sultan Zainal Abidin III.

Daripada riwayat itu, dapat disimpulkan bagaimana bijaknya seorang ulama menangani sesuatu isu yang besar sehingga seseorang sultan dapat menerima buah fikirannya seterusnya peperangan terhenti dan perdamaian diperoleh.
Riwayat itu pula adalah bukti iaitu Sultan Terengganu mahupun Sultan Kelantan ketika itu terpaksa akur dan patuh atas besarnya kewibawaan seorang ulama yang bergelar Tok Syeikh Duyung. Riwayat ini pula adalah sebagai bukti karamah Tok Syeikh Duyung. Menurut cerita, sesiapa sahaja yang berjumpa dengan beliau, sama ada disengaja ataupun tidak, akan terpahat pada hati memandang beliau sebagai seorang yang sangat hebat.

Tok Syeikh Duyung selain berwibawa dan dihormati oleh Sultan Omar (Sultan Terengganu) dan Sultan Kelantan, beliau sangat berkesan pada hati seorang muridnya yang menjadi Sultan Terengganu berikutnya, iaitu Sultan Zainal Abidin III. Tok Syeikh Duyung pula sangat kasih kepada muridnya itu sama ada sebelum menjadi sultan mahupun sesudahnya.
Tambatan kasih sayang daripada guru kepada murid atau sebaliknya daripada murid kepada guru dalam istilah tasawuf dinamakan dengan ‘rabithah’. Rabithah yang dimaksudkan telah berlaku antara Nabi Muhammad s.a.w. terhadap para sahabatnya dan sebaliknya.
Sembahyang hajat.


                                                           surau tok syeikh duyong

Maksud perkataan Saidina Abu Bakar as-Siddiq terhadap Nabi Muhammad s.a.w.: “Aku kasih dalam dunia tiga perkara, duduk bersama-sama Nabi Muhammad s.a.w., membelanjakan hartaku untuk Nabi Muhammad s.a.w. dan mengucapkan selawat atas Nabi Muhammad s.a.w.”
Oleh itu sewaktu pertabalan Sultan Zainal Abidin III menjadi Sultan Terengganu pada 18 Disember 1881, Tok Syeikh Duyung telah melakukan sembahyang hajat dengan doa yang bersungguh-sungguh untuk keselamatan Sultan Zainal Abidin III, semua rakyat dan kerajaan yang di bawah pemerintahan baginda.

Sesuatu pemerintahan Islam akan selamat apabila penguasa tertingginya dapat bekerjasama dengan ulama. Ulama yang membawa selamat dan berkat ialah ulama yang dapat memberi nasihat kepada pemerintah, berani berkata benar walaupun terhadap penguasa yang zalim.
Sesuatu pemerintahan Islam dan rakyat akan binasa apabila para ulamanya tidak berani memberi nasihat yang benar kepada pemerintah. Sesuatu pemerintahan Islam akan lebih binasa apabila pemerintahnya memusuhi ulama yang berani berkata benar seperti yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya.


kesimpulan 

Pokok pangkalnya realiti semasa yang dihadapi oleh ulama tidak sama dengan realiti lepas, masyarakat hari ini bukan masyarakat simple kurun ke-18 atau ke-19 atau awl abab ke-20. seperti yang ditekankan oleh seorang cendikiawan islam ulama perlu bangkit dalam bentuk baharu memandangkan persekitaran yang sudah berubah dan dalam masa yang sama mengekalkan fungsi tradisi mereka sebagai pemengang amanah ALLAH. Hal ini kerana pengetahuan ulama ketika ini diperlukan bagi menangani masalah persoalan yang semakin mencabar pada masa ini. Justeru itu jelaslah sedikit sebanyak perihal tokoh yang dianggap berwibawa di Terengganu pada masa ketika dulu dan jasa ilmu yang diberikan diingati sampai bila-bila.semoga Negeri Terengganu Darul Iman dibawah kepimpinan islam dan diRahmati oleh  ALLAH S.W.T.





ALLAH PELIHARAKANLAH TERENGGANU

Amin. 


Rujukan :

Muhammad Abu Bakar, 1991 "Ulama Terengganu satu sorotan" Jawatankuasa koleksi Terengganu dan Utusan Publications.

Muhamad Saleh Haji Awang, 1975 "Sejarah Darul Iman hingga 1337h-1918h" Jabatan Sejarah Universiti Malaya Kuala Lumpur.


2 ulasan: